Kuala Lumpur: Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan dilancarkan malam ini menjanjikan kesinambungan agenda transformasi negara berdasarkan perancangan jangka panjang untuk kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.
Difahamkan, inti pati manifesto akan berasaskan kepada tema Janji Ditepati, Rakyat Didahulukan yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Razak dan menjadi teras pentadbirannya sejak dilantik sebagai Perdana Menteri empat tahun lalu.
Manifesto dilancarkan di Stadium Putra Bukit Jalil yang akan dihadiri lebih 40,000 ahli dan pemimpin BN dari seluruh negara. Ini kali pertama BN melancarkan manifesto sebelum hari penamaan calon yang bertujuan untuk menyediakan lebih banyak ruang masa kepada rakyat meneliti dan mengkaji janji BN.
Sebelum ini pakatan pembangkang membentangkan manifesto mengandungi pelbagai janji untuk meraih sokongan pengundi.
Parlimen dibubar Rabu lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Rabu ini untuk menentukan hari penamaan calon dan pengundian.
Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi rebutan kali ini. Jumlah DUN tidak termasuk 71 kerusi di Sarawak yang sudah mengadakan pilihan raya negeri pada April 2011.
Perancangan bertanggungjawab
Manifesto BN juga memberi keutamaan kepada transformasi ekonomi yang berjaya mengekalkan dan mengukuh pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.6 peratus tahun lalu dan unjuran sehingga enam peratus tahun ini.
Selain itu, transformasi politik dan sosial dijangka diteruskan dan ditambah baik untuk mewujudkan persekitaran politik yang sihat dan keadilan sosial untuk semua lapisan rakyat tanpa mengira perbezaan kaum dan agama.
Namun, untuk pelaksanaan transformasi ekonomi, Najib dijangka mengemukakan perancangan secara bertanggungjawab yang berasaskan kedudukan kewangan dan ekonomi negara semasa dan bukan sekadar janji untuk mencapai populariti seperti yang dijanjikan pembangkang.
No comments:
Post a Comment